Pemandu sempat selamatkan diri, elak rentung bersama kereta

 


 SEMPORNA: Seorang lelaki bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandu terbabas lalu terbakar dalam kejadian di Jalan Kem Sri Wangsa, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berjaya keluar, sebelum keretanya terbakar dan kemudian membuat panggilan kecemasan MERS999.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari balai bomba. 

“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dipercayai terbabas dan terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan sumber air dari jentera bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu terbabit sempat menyelamatkan diri keluar dari kereta berkenaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud dan operasi ditamatkan pada jam 5.50 pagi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama