Projek EV dan tenaga boleh baharu dilancarkan untuk sektor perladangan

 


KOTA KINABALU: Projek “Sustainable Mobility & Renewable Energy Solution” untuk sektor perladangan dilancarkan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, d sini hari ini.

Inisiatif hasil kerjasama antara Sustainable Future (SF), Borneo Sabah Energy (BSE), dan Koperasi Permodalan FELDA (KPF), dengan sokongan Kerajaan Negeri Sabah, bertujuan memperkukuh agenda tenaga hijau di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif Borneo Sabah Energy, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, berkata fokus awal projek tersebut adalah kepada sektor industri yang diyakini dapat menjimatkan kos dan menyokong struktur ekonomi kerajaan.

"Buat masa ini kita fokus kepada sektor perladangan dan kita akan komersialkan kepada sektor lain secara berperingkat. Saya percaya projek ini dapat membantu kerajaan daripada segi penjimatan kos,” kata Halim ketika ditemui pada sidang media selepas perasmian Majlis Pelancaran Projek Sustainable Mobility (Kenderaan Elektrik) & Renewable Energy Solution di SICC, di sini hari ini.

Selain itu, projek ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kualiti udara, dan menurunkan pencemaran bunyi, selain memberi manfaat ekonomi kepada Sabah.

Oleh demikiam, projek ini juga melibatkan pembangunan infrastruktur seperti stesen pengecas EV di kawasan perladangan dan kilang, menjadikannya lebih mudah dan menjimatkan bagi pengguna, terutama di kawasan luar bandar.

"Kita akan tempatkan stesen pengecas di kawasan perladangan, sebagai contoh ladang SLDB di Lahad Datu.

"Jadi mereka tidak perlu ke bandar untuk mengecas EV, kerana infrastruktur ini dibangunkan di kawasan kilang dan ladang mereka", ujarnya.

Perkara ini diharap menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga bersih di Sabah, sekali gus meletakkan negeri Sabah sebagai perintis inovasi hijau di Malaysia.

Hadir sama, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Datuk Mahirudin dan Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) Dato' Mohd Banuri Aris.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama