![]() |
Ellron (tengah) bersama Gerald (kanan) dan Fairuz (kiri) merakamkan gambar kenangan selepas sesi kunjungn hormat MYSED kepada KBSS - ihsan KBSS |
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sebulat suara bersetuju agar Borneo Games dianjurkan semula selepas kali terakhir dianjurkan di Labuan pada tahun 2013.
Perkara terbabit disampaikan semasa menerima kunjungan hormat daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), semalam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, rombongan MYSED yang diketuai oleh Timbalan Menterinya, Datuk Gerald Rentap Jabu mencadangkan agar acara Borneo Games dihidupkan semula setelah 11 tahun tidak dianjurkan.
Turut dicadangkan, Borneo Games ke - 6 dijangka akan dianjurkan pada tahun 2025 yang mana Sarawak menjadi tuan rumah sebagaimana yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada Ogos lepas.
Abang Johari membuat pengumuman mengenainya semasa Majlis Makan Malam SUKMA XXI Sarawak 2024 di Borneo Convention Centre, Kuching pada bulan Ogos lepas.
Dilaporkan sebelum ini, dalam ucapannya juga memaklumkan Sarawak akan menjadi penaja utama bagi kejohanan berprestij terbabit.
Dalam pada itu, KBSS menyatakan penganjuran Borneo Games adalah selari dengan aspirasi semangat Borneo untuk mengukuhkan hubungan lebih erat antara wilayah di Borneo iaitu Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kalimantan Indonesia.
Borneo Games merupakan acara sukan tahunan yang melibatkan peserta dari wilayah dan negara di kepulauan Borneo.
Acara sukan ini bermula pada tahun 1954 di Seria Recreation Club (SRC), Brunei Darussalam.
Kejohanan ini telah telah diberikan nafas baru pada tahun 2005 sehingga tahun 2013 dan diadakan secara dwitahunan yang seterusnya penganjuran terhenti sehingga sekarang.
Hadir sama dalam kunjungan itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap KBSS, Datuk Mansur Asun serta Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Frederick.