![]() |
Pasukan BBP Putatan membawa keluar mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan RTM Kepayan awal pagi tadi. |
KEPAYAN – Seorang wanita maut, manakala dua lelaki cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan RTM Kepayan awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, seorang wanita berusia 46 tahun yang tersepit dalam salah sebuah kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Balai BBP Putatan, PPgB Noor Sherriyana Bohari berkata kemalangan yang melibatkan sebuah Toyota Camry dan Perodua Myvi itu dilaporkan kepada talian kecemasan MERS999 pada jam 5:21 pagi.
Sherriyana memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun telah dikeluarkan dengan selamat oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Dua mangsa lain, lelaki berusia 20 dan 28 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan. Mereka telah dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kemudian menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud dan operasi ditamatkan pada jam 7:05 pagi,” tambahnya.