KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah dan Pakatan Harapan Sabah (GRS-PH Plus) berfungsi seperti biasa.
Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata ia bagi memastikan agar perancangan dan pelaksanaan projek serta aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar.
Katanya, pihaknya yakin pengundi di Sabah bijak untuk memilih pimpinan yang berintegriti secara demokrasi pada PRN akan datang.
Beliau berkara demikian bagi mengulas berkenaan 'serangan' politik menerusi penularan video skandal rasuah yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Penularan video terbabit turut disusuli dengan gesaan segelintir pihak khususnya pemimpin dari pembangkang supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, meletak jawatan.
Katanya lebih lanjut, pihaknya memandang serius kes penularan video yang diperkatakan namun pada masa yang sama berpendirian untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
"Seperti yang semua sedia maklum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun memulakan siasatan dan memanggil beberapa pihak.
"Keadilan Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang, maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan.
"Kerajaan Madani yang tegas dalam membanteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.
"Pihak berkuasa dan institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya," katanya.