Mangsa terakhir insiden lemas ditemui hari ketiga SAR


 

PAPAR: Pencarian mangsa ketiga insiden lemas di pantai Kampung Bundusan, di sini, Khamis lalu berakhir selepas ditemui oleh pasukan bomba tengah hari tadi.

Mayat Karl Marx Vitalis, 48, ditemui pada jam 12.02 tengah hari, selepas tiga hari operasi dan menyelamat (SAR) dijalankan di lokasi kejadian. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, mangsa ditemui lemas oleh pasukan bomba dalam kawasan pencarian di pantai berkenaan.

“Pasukan bomba yang terlibat dalam operasi SAR berjaya menemui mangsa pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa kemudian dibawa ke tepi pantai dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.32 tengah hari.

Terdahulu, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas membabitkan empat mangsa yang sedang melakukan aktiviti mandi di Pantai Bundusan Kampung Bundusan, di sini.

Dua mangsa iaitu Razq Aariz Julkarnain Abd Aziz, 14, dan Rubern Vitalis, 7, ditemui lemas selepas dihanyutkan arus ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Seorang mangsa, Matthew Kana Vitalis berusia 12 tahun berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala seorang lagi mangsa terakhir Karl Marx Vitalis, 48, dilaporkan hilang dalam kejadian itu. 

Operasi SAR membabitkan pasukan daripada BBP Papar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama