Kontroversi karikatur hina TYT baharu, hormati simbol kedaulatan negeri Sabah

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Lahirul Latigu - ihsan AMANAH Sabah

 KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah menyifatkan tindakan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang menyiakkan karikatur yang dianggap menghina Yang di-Pertua Negeri Sabah baharu mencerminkan kurang rasa hormat terhadap simbol kedaulatan negeri ini.

Pengerusinya, Lahirul Latigu berkata tindakan Fahmi itu juga berpotensi menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.

Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri Sabah bukan sekadar seorang individu tetapi adalah institusi penting dalam struktur pentadbiran negeri Sabah dimana beliau juga merupakan lambang kedaulatan, perpaduan, dan kestabilan negeri ini. 

"Sebagai figura neutral tanpa pengaruh politik, Tuan Yang Terutama (TYT) memainkan peranan besar dalam menjaga integriti sistem pentadbiran negeri Sabah.

"TYT adalah Ketua Negeri Sabah yang memainkan peranan penting dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Walaupun Sabah tidak mempunyai raja seperti negeri-negeri beraja di Semenanjung Malaysia, TYT berfungsi sebagai simbol kedaulatan negeri.

"Kedudukannya adalah unik kerana TYT dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, menjadikannya wakil tertinggi Sabah dalam kerangka Persekutuan Malaysia. 

"Jawatan TYT ini menggantikan peranan seorang raja, dengan tanggungjawab besar dalam memastikan pentadbiran negeri Sabah berjalan mengikut peruntukan perlembagaan dan menjaga keharmonian politik serta perpaduan rakyat," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknta sentiasa menyokong kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan namun harus digunakan dengan bertanggungjawab.

"Apa-apa tindakan yang menghina simbol negeri, termasuk TYT, adalah bertentangan dengan nilai adab dan tatasusila rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah yang terkenal dengan budaya hormat-menghormati.

"Sebarang penghinaan terhadap TYT adalah sama dengan merendahkan maruah dan identiti negeri Sabah itu sendiri. Sabah adalah negeri yang kaya dengan tradisi, adat, dan perpaduan pelbagai kaum dan agama. Tindakan seperti ini boleh mengundang perpecahan di kalangan rakyat dan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.

"TYT juga melambangkan hubungan erat Sabah dengan Persekutuan Malaysia. Sebagai wakil tertinggi negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negeri. 

"Oleh itu, apa-apa penghinaan terhadap TYT turut mencerminkan sikap tidak menghormati sistem Persekutuan yang mendukung hubungan antara negeri dan kerajaan pusat," katanya.

Lahirul turut menggesa agar semua pihak, termasuk seniman dan aktivis untuk lebih peka terhadap sensitiviti rakyat Sabah. 

"Kritikan dan satira adalah sebahagian daripada demokrasi, tetapi ia harus dilakukan secara beradab dan bertanggungjawab.

"Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur yang melanggar undang-undang. 

"Pada masa yang sama, kami menyeru semua rakyat Sabah untuk mengekalkan perpaduan dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan keharmonian negeri," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama