TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata sentimen akar umbi menunjukkan rakyat mahu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus terus memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Ini adalah sentimen rakyat, inilah inspirasi rakyat sekarang ini. Mereka mahu kita terus memerintah, mereka mahu parti tempatan menjadi dominan di dalam pilihan raya akan datang.
"Insya-Allah Parti Gagasan Rakyat Sabah, GRS dan juga PH Plus akan terus memerintah selepas pilihan raya akan datang," katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Borang Keahlian bertempat di Dewan Terbuka Kampung Kota, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman Datuk Kassim Razali dan Naib Ketua Bahagian Datuk Johari Saiman.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata memang terdapat beberapa parti tempatan lain dalam negeri ini seperti Parti Warisan (WARISAN).
"Ya ada Warisan, parti tempatan tetapi mereka hanya pandai bercakap sahaja tidak pandai bekerja. Sejak menjadi Menteri Luar Bandar, jangan cerita Ketua Menteri selama dua tahun setengah, hala tuju pun tidak ada.
"Saya harus perjelaskan ini semua kerana ini hakikatnya mereka tidak pandai mentadbir Sabah. Saya tidak mahu rakyat dibuai dengan pembohongan dan fitnah oleh pemimpin tertentu di Sabah.
"Cukuplah kita bergaduh dalam politik. Itulah sebabnya kita lambat membangun," katanya.
Hajiji berkata beliau mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah dalam keadaan yang getir dan semasa itu beliau juga turut dijangkiti COVID-19.
Walau bagaimanapun, menurutnya COVID-19 tidak menghalang beliau merangka strategi untuk membangunkan negeri ini.
Katanya, ini termasuk mewujudkan hala tuju untuk memperkukuhkan ekonomi dan memartabatkan slogan jata negeri Sabah Maju Jaya.
"Saya ambil slogan Sabah Maju Jaya ini untuk kita perkasakan tetapi pemimpin pembangkang pula memperlekehkan dan menghina.
"Hakikatnya, hanya semasa kerajaan GRS-PH Plus tercipta banyak kejayaan dan pencapaian cemerlang. Trek rekod kita amat jelas.
"Kita perkenalkan dasar mesra pelabur. Saya adakan persidangan ekonomi antarabangsa pada tahun 2021 yang disertai lebih 30 buah negara.
"Ini belum pernah terjadi. Dalam masa empat tahun, kita berjaya wujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan," katanya.
Mengulas kemasukan beberapa pemimpin akar umbi parti pembangkang ke dalam Gagasan Rakyat, Hajiji menyatakan beliau mengalu-alukan kehadiran mereka.
"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan ini adalah satu perkembangan yang cukup baik kerana saya mahu supaya adanya perpaduan di kalangan masyarakat kampung di sekitar ini.
"Dari sana, kita akan dapat menjalinkan rasa silaturahim dan kerjasama yang baik diantara mereka," jelasnya.
Dalam majlia terbabit, beliau menerima borang keahlian baharu daripada bekas pemimpin WARISAN bahagian Tuaran, Omar Bawi Zainuddin, Matussin Saidi dan Ahmad Rawi serta Rafi Said daripada UMNO Tuaran.