LAHAD DATU : Seorang juragan nekad bertindak terjun ke laut meninggal bot yang sarat dengan muatan barang kawalan bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Terdahulu, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan bot tanpa no pendaftaran itu dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 0.4 batu nautika di Selatan Tanjung Batu, Felda Sahabat, dekat sini, kira-kira jam 3.45 pagi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot terbabit bagaimanapun bertindak melarikan diri dengan mengubah haluan ke arah daratan berhampiran sebelum jurugannya bertindak terjun ke laut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan membawa beberapa barang kawalan termasuk beras, minyak masak paket dan tong gas cecair petroleum (LPG).
"Selepas pemeriksaan lanjut, anggota kita menemukan dua tong LPG berwarna hijau, 17 bungkus paket minyak masak (paket 1kg), dan 14 kampit beras keseluruhan sebanyak 115kg.
"Selain itu, turut ditemui satu tiub hablur kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Dzulfikhar berkata, kesemua barang kawalan berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM8,500.00 di bawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.
"Kes masing-masing disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta kawalan beras dan padi 1994 dan Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.