Pupuk minat generasi muda pelajari ilmu pengurusan jenazah

Rina bergambar kenangan bersama peserta-peserta kursus pengurusan jenazah. 

TAWAU: Semua pihak perlu berusaha untuk memupuk minat generasi muda menyertai kursus pengurusan jenazah bagi memudahkan sekiranya berlaku kematian dalam kalangan keluarga dan jiran terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal berkata pengurusan jenazah adalah fardu kifayah dan seharusnya ilmu itu perlu ada dalam diri setiap umat Islam di negara ini.

Katanya, sambutan generasi muda atau belia terhadap kursus ini dilihat sangat kurang memberangsangkan dan perlunya ada satu mekanisme untuk menarik minat mereka.

“Kita tidak boleh harapkan hanya golongan agamawan atau warga tua sahaja untuk mengurus sekiranya berlakunya sesuatu kematian kerana ia akan menjadi masalah pada masa akan datang.

“Justeru, perlunya ada usaha untuk menarik minat generasi muda supaya mereka menyertai kursus-kursus pengurusan jenazah yang dianjurkan di daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Jiran Wanita KRT Taman Semarak Jaya, di sini hari ini.

Menurutnya, kursus sebegini perlu dilaksanakan dengan lebih kerap lagi dan setiap masjid di daerah ini diminta memainkan peranan sebagai institusi keagamaan untuk menganjurkan kursus-kursus fardu kifayah.

“Saya sebagai wakil rakyat juga sentiasa menyokong dan membantu setiap penganjuran berbentuk keagamaan seperti kursus pengurusan jenazah ini.

“Pejabat DUN Kukusan juga sudah pernah menganjurkan kursus sebegini dan melibatkan penyertaan lebih 100 orang,” katanya.

Mengulas mengenai kursus berkenaan pula, Rina berharap ilmu ini dapat dimanfaatkan sekiranya berlakunya kematian dalam kalangan ahli keluarga atau jiran terdekat kita.

“Saya menzahirkan tahniah kepada semua 30 orang peserta yang berjaya menghabiskan kursus ini dan diharapkan terus menimba ilmu pengurusan jenazah sehingga betul-betul mahir.

“Saya juga yakin kerajaan negeri akan memberikan bantuan kepada persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menganjurkan program-program keagamaan di daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama