Lelaki hilang di Sungai Lebak Moyoh ditemui meninggal dunia

Foto ihsan Bomba


Kota Belud: Lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Lebak Moyoh, di sini semalam ditemui lemas pada awal pagi tadi.

Jasad Noordin Punjuh, 51 tahun, ditemui orang kampung pada jam 12.56 tengah malam, 200 meter dari jarak mangsa dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, operasi hari pertama mencari dan menyelamat (SAR) telah dibahagikan kepada tujuh pasukan.

Operasi SAR melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

"Operasi pencarian mangsa menggunakan kaedah pencarian pada permukaan (surface water searching)

"Selain itu, pencarian giat diusahakan di tebing sungai, menggunakan teknik gelombang (wave), serta bantuan bot dan Unit Anjing Pengesan (K9).

"Kawasan pencarian meliputi jarak sejauh 8 kilometer," katanya.

Mangsa disahkan telah meninggal dunia, seterusnya mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar menangkap ikan di Sungai Lebak Moyoh kemarin pada jam 11.00 pagi semalam.

Namun, keluarga mangsa mula menyedari kehilangannya sebelum adik mangsa menemui jala, beg pinggang, telefon, selipar, dan baldi milik mangsa di tepi sungai kira kira jam 10 malam.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama