KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KPLB) Sabah diminta memperkemaskan proses pentadbiran di semua pejabat daerah di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kementerian itu amat penting dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat luar bandar.
"Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah kementerian penting yang ditugaskan untuk mentransformasikan kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.
Sehubungan itu, Hajiji meminta semua pegawai daerah memberikan kerjasama bagi memastikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan cekap.
"Projek pembangunan luar bandar negeri dan persekutuan mesti dilaksanakan mengikut jadual. Ini juga termasuk program kesedaran kepada penduduk luar bandar," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sembulan dekat sini hari ini.
“Paling penting, menjadi tugas pegawai daerah untuk menyelesaikan masalah di daerah masing-masing,” katanya.
Ketua Menteri juga mahu kelewatan pengeluaran elaun Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diselesaikan segera.
“Saya mahu Kementerian memantau prestasi pegawai di pejabat daerah masing-masing dan memastikan kerja-kerja dijalankan mengikut jadual termasuk menyelesaikan isu elaun,” katanya.
Hajiji telah mengarahkan Kementerian untuk mengadakan kursus yang berkaitan untuk semua kakitangan di setiap pejabat daerah bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan di daerah itu.
Dalam lawatan kerja itu, Ketua Menteri dan rombongan telah diberi taklimat oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Norlijah Danin mengenai program-program kementerian yang sedang dijalankan dan yang telah berjaya dilaksanakan.
Antara program itu ialah projek pembangunan kecil luar bandar, pembangunan usahawan luar bandar, ekonomi dan kemudahan luar bandar, pembasmian kemiskinan, satu daerah satu produk, aktiviti ekonomi tambahan, bekalan air alternatif luar bandar, bekalan elektrik alternatif luar bandar dan Rumah Mesra SMJ.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ariffin Arif dan pembantu-pembantu Menteri, serta pegawai kanan jabatan.