Datuk Ong Kim Swee sah disambar Persis Solo

Foto Ihsan: FB Persis Solo


INDONESIA: Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, telah disahkan sebagai ketua jurulatih baharu Persis Solo, sebuah kelab Indonesia.

Pengumuman itu dibuat secara rasmi oleh pengurusan Laskar Sambernyawa semalam melalui laman sesawang rasmi kelab.

Pelantikan ini mengesahkan bahawa jurulatih berusia 53 tahun itu akan mengambil alih tugas daripada Milomir Seslija, jurulatih dari Bosnia-Herzegovina yang sebelum ini mengetuai skuad Liga 1 Indonesia tersebut.

“Persis secara rasmi mengumumkan susuk jurulatih baru yang akan mengawal penggawa Laskar Sambernyawa pada baki musim ini.

“Demi menunjukkan komitmen menuju prestasi terbaik, PERSIS secara rasmi mengumumkan Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih pada Isnin, 25 November 2024,” melalui satu kenyataan. 

Pelantikan Kim Swee juga menamatkan spekulasi mengenai hala tujunya selepas meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Sabah FC Khamis lalu. 

Beliau kini bersedia menghadapi cabaran baharu di Indonesia, dengan matlamat membawa Persis Solo ke kedudukan lebih baik dalam Liga 1.

“Saya melihat ini sebagai satu peluang bersama satu kelab yang memiliki cita-cita yang cukup tinggi, di mana saya hadir bersama Persis dan memastikan semua pihak memiliki objektif yang sama, dan objektif kita adalah untuk memastikan Persis berada di posisi yang baik.

“Dan itu merupakan tujuan utama saya, memastikan kita dapat beraksi lebih baik setelah ini,” tambahnya.

Kim Swee diharap dapat membawa perubahan besar untuk membantu pasukan itu keluar dari zon tercorot Liga 1 Indonesia, di mana mereka hanya mengumpul tujuh mata daripada 11 perlawanan yang berlangsung.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama