Isuzu Dmax hilang kawalan, terbabas di bahu jalan di Tawau

Kenderaan terbabas


TAWAU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax terbabas ke bahu jalan selepas hilang kawalan di Jalan Balung, lokasi berhampiran kilang sawit Teck Guan, kilometer (KM) 49 Balung, Tawau.

Komander Operasi, PBK II Mohd Yahya Abd Fattah memberitahu bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.13 tengah hari, pada Sabtu.

"Selepas menerima panggilan kecemasan di talian MERS999, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi dan tiba di lokasi pada pukul 12.57 tengah hari.

"Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati terdapat dua orang mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya, dipercayai kerana terbabas ke bahu jalan,"katanya.

Menurut beliau lagi, seorang mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

"Seorang lagi mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, dikeluarkan oleh pasukan bomba.

"Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa dan mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Balung dengan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Operasi menyelamat turut disertai dua anggota KKM dan enam orang polis," katanya.

Identiti mangsa dikenali sebagai Redzuan Chin Abdullah, 49 tahun selamat dan Chia Shung Chuan, 44 tahun, cedera.

Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 1.35 petang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama