Isu Keselamatan Siber Dalam Negara Perlu Perhatian

Datuk Abdul Halim Abdul Rahman

KOTA KINABALU: Peningkatan mendadak kes berkaitan isu keselamatan siber di negara ini perlu diberi perhatian.

Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, setiap tahun jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel meningkat hampir sekali ganda.

Katanya, tahun lepas bilangan kes jenayah siber meningkat kepada lebih 20,000 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM560 juta berbanding 13,000 kes dan kerugian berjumlah RM539 juta yang direkodkan pada 2019.

Menurutnya, keselamatan siber yang kukuh amat penting pada waktu negara menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana ia bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital.

"Sebarang isu melibatkan keselamatan siber akan memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.

"Di kala kita bergerak ke hadapan dan hidup dengan teknologi di mana bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital.

"Banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengar dalam tempoh sedekad yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Abdul Halim berkata, landskap keselamatan negara ketika ini berubah dengan lebih pantas berbanding sebelum ini. Justeru, perubahan yang berlaku kini antara cabaran terbesar dalam memastikan pertahanan dan keselamatan negara dan sasaran penting terjamin.

Selain itu jelasnya, menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu katanya, negara perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara amnya.

"Keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini adalah amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.

"Penting untuk pemilik atau penghuni sasaran penting sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga dan diberi kawalan keselamatan yang sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan aspek keselamatan adalah obligasi utama bagi mengekalkan kedaulatan negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama