Selesaikan Projek Mitigasi Banjir Tawau Dalam RMK12

DATUK CHRISTINA LIEW

TAWAU: Masalah banjir yang membelenggu penduduk daerah ini berdekad lamanya bakal diselesaikan secara tuntas.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew optimistik ianya hanya dapat dicapai sekiranya projek mitigasi banjir Tawau dapat diselesaikan dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurutnya, kerja-kerja pakej ketiga untuk melebarkan muara sungai Tawau di Kampung Titingan Apas sedang dilakukan.

"Menurut Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), muara sungai sedia ada sangat kecil, hanya seluas 20 meter sahaja dan kini usaha diambil untuk melebarkan sehingga 80 meter.

"Usaha seumpamanya, saya difahamkan akan melancarkan pengaliran air sungai ke laut seterusnya mampu mengatasi masalah banjir," katanya selepas mengadakan tinjauan di lokasi kerja-kerja pakej ketiga di muara sungai berkenaan, baru-baru ini.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau Fung Thin Yein.

Beliau berkata, projek berkenaan juga termasuk membina benteng di lereng sungai bagi memastikan tidak berlaku hakisan.

Selain itu katanya, pakej keempat projek berkenaan pula melibatkan naik taraf Jambatan Apas di Kilometer 2 Jalan Apas.

"Saya faham bahawa saiz jambatan sedia ada terlalu pendek untuk disesuaikan dengan rekaan baharu kemudahan itu yang mana akan memberikan aliran baharu Sungai Tawau.

"Oleh sebab itu, jambatan ini perlu dinaik taraf. Saya juga difahamkan pakej ketiga dan keempat projek ini adalah termasuk dalam satu kontrak dan dijadualkan siap pada Januari 2024," katanya.

Bagaimanapun, Christina bimbang bahawa pakej satu dan dua (juga dalam satu kontrak) melibatkan pendalaman serta pelebaran sungai Tawau masih belum melantik kontraktor berkaitan.

"Oleh itu, kita tidak tahu bila kedua-dua pakej ini akan dimulakan, saya ingin sekali lagi menyeru kerajaan persekutuan agar mempercepatkan pelaksanaan perkara ini menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menyelesaikan masalah banjir di Tawau," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama