Dua Kilang Ais Kiub Diarah Tutup Di Sandakan

 

Kredit:Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Dua kilang ais kiub di daerah ini diarah tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr. Johari Awang berkata daerah ini mempunyai empat kilang ais kiub yang aktif beroperasi.

“Bagaimanapun, dua daripada jumlah itu tidak pernah memohon lesen daripada KKM walaupun sudah beroperasi lebih empat tahun.

“Kilang itu juga setiap tahun diberikan kompaun, namun sehingga kini tidak serius mendapatkan lesen daripada KKM,” katanya ketika sidang media, di sini hari ini.

Katanya, KKM sudah berikan tempoh agak lama untuk mereka memohon lesen dan mematuhi program jaminan keselamatan makanan yang telah digariskan.

“Kita juga sudah berikan bimbingan yang sepetutnya, namun pemilik berkenaan tetap enggan untuk memastikan kilang mereka memiliki lesen.

“Justeru, kita terpaksa menyita kilang tersebut kerana kompaun yang diberikan setiap tahun tidak memberikan kesan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, operasi ini kerap dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna ais kiub di Sandakan sentiasa terjamin.

Johari berkata arahan menutup operasi kilang itu berkuatkuasa serta merta sehingga kilang-kilang tersebut memperoleh lesen KKM.

“Saya berharap kilang-kilang yang menghasilkan ais kiub di daerah ini supaya dapat memohon lesen kesihatan seperti yang ditetapkan,” katanya.


Sumber: Utusan Borneo



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama