Abang Ipar Rogol Kanak-kanak Perempuan 11 Tahun Diburu Polis

GAMBAR HIASAN

 KOTA MARUDU: Polis kini giat memburu seorang lelaki yang dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di sebuah kampung di Pitas penghujung September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata pihaknya memburu salah seorang daripada dua suspek yang menjalankan perbuatan terkutuk itu pada 5 petang 30 September lalu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa pergi ke rumah kakaknya untuk menjaga tiga orang anak buahnya berikutan kakaknya mahu ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sebaik kakak mangsa balik, mangsa kemudian mengadu ‘diganggu’ (dirogol) oleh dua suspek iaitu abang ipar serta bapa saudaranya di bilik tidur,” katanya.

Katanya kakak mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum bapa saudara mangsa berumur 40 tahun ditahan pada hari sama.

“Polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang juga abang ipar mangsa atau suami kepada kakaknya berumur 31 tahun yang dipercayai melarikan diri selepas mengetahui isterinya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau juga meminta kerjasama penduduk kampung serta kawasan sekitar untuk menghubungi pihak polis dengan kadar segera jika mempunyai maklumat suspek agar penahanan boleh dibuat.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

  • -Vivi Olviana Najurus

  • Disiarkan pada:

    Terbaru Lebih lama