75 Peratus Penggunaan Katil Pesakit COVID-19 Di Sabah

NOOR HISHAM

 KOTA KINABALU: Sebanyak 75 peratus kadar penggunaan kapasiti katil direkodkan di enam hospital berpakar yang merawat pesakit COVID-19 di negeri setakat 6 Oktober 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, sebanyak 710 katil disediakan di hospital berkenaan dan 1,886 katil lagi di 10 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Katanya, kadar penggunaan katil di PKRC setakat 6 Oktober adalah sebanyak 35 peratus manakala bagi perkhidmatan rawatan rapi, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus.

"Bagi menampung peningkatan kes COVID-19, wad-wad tambahan turut dibuka di enam hospital berpakar di Sabah termasuk bangunan Kompleks Sukan Likas bagi Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Kompleks Sukan Tawau bagi Hospital Tawau.

"Wad tambahan lain yang dibuka termasuklah Dewan Arena Tawau Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM); Dewan Tun Haji Mustapha bagi Hospital Lahad Datu dan Dewan Rafflesia ILKKM PPR Batu Putih bagi Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

"PPR Bubul Ria juga dibuka bagi menempatkan kes-kes COVID-19 di daerah Semporna dan Asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) untuk kes-kes daerah Kunak," jelasnya.

Menurutnya, KKM turut mengatur pasukan bantuan yang terdiri daripada pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, serta jururawat terlatih untuk membantu petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengendalikan wad-wad tambahan berkenaan.

Pada masa sama katanya, KKM juga menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital-hospital di negeri Sabah.-Siti Aisyah Narudin


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama