![]() |
HABIBI MAJINJI |
KOTA KINABALU: Seramai 146 pegawai serta anggota polis diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua mereka yang dikuarantin itu termasuklah tujuh pegawai dan 136 anggota serta tiga kakitangan awam.
“Mereka diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing sejak seminggu lalu secara berperingkat berikutan ada dalam kalangan ahli keluarga anggota yang disahkan positif COVID-19.
“Kesemua anggota yang diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri itu bagaimanapun dalam keadaan baik dan akan diarahkan untuk bekerja semula sebaik tamat tempoh kuarantin,” katanya.
Sementara itu Habibi juga menasihatkan orang ramai untuk tidak panik dengan senarai lokaliti COVID-19 yang ditularkan sejak semalam berikutan tiada rekod yang serius di kawasan berkenaan.
“Kesemua kawasan yang disenaraikan itu dipilih agar pihak polis boleh perketatkan lagi penugasan berikutan terdapat beberapa individu yang dikesan positif COVID-19 di lokasi berkenaan.
“Tiga kawasan utama termasuk Bandar Sierra, Kampung Kembirian serta Skim Penempatan Telipok dikesan sebagai tempat tumpuan orang ramai dan kita akan menjalankan penugasan serta kawalan pergerakan yang lebih ketat di sana,” katanya.-Vivi Olviana Najurus