![]() |
BERSALAH: Penjaga premis yang dikompuan akibat gagal mematuhi peraturan PKPP. |
BEAUFORT: Sorang lelaki penjaga sebuah premis perniagaan di pekan lama Membakut dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, lelaki terbabit didapati gagal memastikan pengunjung membuat rekod yang sepatutnya disediakan di premisnya dalam kira-kira jam 4.10 petang pada 6 Oktober lepas.
Katanya, lelaki berumur 34 tahun itu didapati melakukan kesalahan terbabit semasa pasukan pemantauan penguatkuasaan COVID-19 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Beaufort menjalankan pemeriksaan di premis itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati penjaga premis gagal memastikan pengunjung membuat catatan di dalam buku yang disediakan di premisnya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, penjaga premis itu kemudiannya dibawa ke IPD Beaufort untuk dikompaun.
Menurutnya, kompaun yang dikenakan mengikut kesalahan di bawah Per.11(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) No.8 Tahun 2020.