![]() |
| Tertuduh dipenjara lapan tahun dan dikenakan dua kali sebatan rotan kerana melakukan amang seksual fizikal. Foto | SS. |
TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan rotan terhadap seorang duda selepas mendapati dia bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap bekas menantu perempuannya, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung faktor mitigasi serta pemberatan hukuman.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, bekas mekanik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap mangsa di sebuah rumah dalam daerah Tawau pada Disember 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Mohd Ridwan memohon hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh berusia 52 tahun, merupakan pesalah kali pertama serta mempunyai masalah kesihatan selepas mengalami serangan jantung dan masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan seksual semakin membimbangkan dan memerlukan hukuman berbentuk pencegahan.
Beliau turut berhujah bahawa tertuduh telah menyalahgunakan hubungan kepercayaan dengan mangsa kerana sebagai bekas bapa mentua, tertuduh sepatutnya berperanan melindungi mangsa.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2 Julai 2024 lapan saksi pendakwaan manakala lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
