![]() |
| Arifin (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Kategori Penyelia Tahun 2025 kepada Penyelia Pendidikan Sandakan, Salihah Karim (tiga dari kanan). |
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, beliau berbangga dengan pencapaian peperiksaan Sekolah Agama Negeri di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
"Pencapaian peperiksaan SRU tahun ini merupakan yang terbaik dalam tempoh sepuluh tahun dengan peningkatan ketara dalam kadar kelulusan dan pencapaian keseluruhan.
"Lebih membanggakan, sebanyak 24 buah SAN berjaya mencapai keputusan lulus 100 peratus.
"Pencapaian cemerlang itu membuktikan pendidikan sekolah agama semakin meningkat," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Peringkat Negeri Tahun 2026 di sini, pada Selasa.
Tambahnya, kejayaan tersebut bukanlah secara kebetulan tetapi datang daripada komitmen semua pihak.
"Ini adalah usaha daripada pihak pengurusan, bantuan daripada kerajaan, kegigihan para guru dan inovasi demi inovasi yang telah diusahakan oleh sekolah berkenaan.
"Hari ini pun kita memberikan anugerah kepada sekolah-sekolah yang mencapai atau membuat inovasi yang bagus dan kita melihat kerajaan perlu terus memberikan bantuan kepada mereka untuk mengembangkan inovasi pelajaran dan pengajaran mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Arifin selaku Exco agama turut menyatakan Kerajaan Negeri Sabah sentiasa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri.
"Komitmen ini selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 yang memberi penekanan khusus kepada pembangunan modal insan.
"Biasiswa Kerajaan Negeri sebelum ini hanya RM30 juta, RM50 juta, tetapi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menaikkan biasiswa sehingga RM150 juta.
"Ini untuk membolehkan anak-anak kita mendapat biasiswa kerajaan negeri, termasuk guru-guru yang melanjutkan pengajian ke peringkat Master, PhD, semua dapat melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
"Tahun ini sahaja kita mengambil penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang baharu sejumlah 4,000 pelajar baru, berbanding 1,000 sebelum ini," jelasnya.
Pada majlis tersebut, seramai 70 warga pendidik menerima anugerah dalam pelbagai kategori antaranya Anugerah Khas Peningkatan Tertinggi Gred Purata Mata Pelajaran SPM, Anugerah Khas Peningkatan Tertinggi Gred Purata Mata Pelajaran STAM, Anugerah Guru Harapan dan Anugerah Khas.
