TAWAU : Program Wacana Pemikir menjadi platform penting
membincangkan isu geopolitik semasa dalam memperkukuh identiti rakyat Sabah
agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai agama serta budaya tempatan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi
Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata program anjuran Pertubuhan
Islam Seluruh Sabah (USIA) itu berjaya membuka ruang perbincangan yang sihat
mengenai isu geopolitik semasa serta cabaran yang sedang dihadapi masyarakat
dunia.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada USIA yang
dipimpin oleh Presidennya, Datuk Sapawi Ahmad kerana berjaya menganjurkan
Program Wacana Pemikir Zon Tawau.
"Saya difahamkan ini merupakan siri pertama dalam
jelajah wacana berkenaan dan ia berjaya menghimpunkan ramai pemimpin akar umbi
dari kawasan Parlimen Tawau, Kalabakan serta Semporna.
"Pendedahan yang diberikan oleh panel yang terdiri
daripada anak Sabah sendiri mampu membantu masyarakat memahami perkembangan
geopolitik global secara lebih objektif dan matang.
"Meskipun kita mempunyai pemikiran yang terbuka dalam
menilai sesuatu isu, namun pada masa sama tidak mudah terpengaruh dengan
naratif yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan negara.
"Kita mesti mempunyai pandangan tersendiri tanpa
terikut-ikut dengan rentak pihak tertentu yang tidak memberi manfaat kepada
keharmonian kehidupan di negara ini. Apa yang berlaku di peringkat global perlu
dinilai secara bijaksana kerana banyak perkara berada di luar lingkungan kuasa
kita, " ujarnya ketika merasmikan Program Wacana Pemikir Peringkat Zon
Tawau 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini pada Sabtu.
Nizam berkata, penganjuran siri wacana itu mampu membentuk
identiti rakyat Sabah yang progresif, mampu bersaing di peringkat global tetapi
tidak melupakan akar budaya dan nilai keagamaan yang menjadi asas pembentukan
masyarakat negeri ini.
"Program seperti ini membantu membentuk jati diri
rakyat Sabah yang berfikiran terbuka, berdaya saing dan pada masa sama kekal
berpegang kepada nilai agama serta budaya yang menjadi kekuatan kita.
"Rakyat Sabah perlu terus memelihara perpaduan dan
tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam negara terhadap konflik atau peristiwa
yang berlaku di luar negara, rakyat harus terus bersatu padu serta menyokong
agenda pembangunan yang dibawa oleh kepimpinan negara dan negeri demi
memastikan kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan rakyat dapat
dikekalkan," katanya.
Turut hadir, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM)
Datin Shonitah Terang dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd
Shoffian Mohd Said.
