TAWAU : Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau membuka
10 lot gerai bagi membantu memperkukuh pemasaran pertanian di samping
meningkatkan pendapatan petani di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi
Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kemudahan itu merupakan
nilai tambah kepada pembangunan TKPM yang turut membantu para petani memasarkan
hasil pertanian.
"TKPM Tawau di Batu 13 Jalan Apas bukan sahaja
berfungsi sebagai pusat pengeluaran makanan, malah berpotensi menjadi destinasi
agro pelancongan.
"Pembinaan 10 lot gerai di kawasan itu adalah hasil
perbincangan bersama Jabatan Pertanian bagi menyediakan ruang yang lebih
sistematik kepada pengusaha tempatan memasarkan hasil pertanian mereka.
"Jabatan Pertanian akan terus memantau hasil pertanian
dan juga harga jualan bagi memastikan kebanyakan produk yang dijual merupakan
hasil keluaran TKPM Tawau, sekali gus menawarkan harga yang lebih kompetitif
kepada pengguna," katanya semasa merasmikan Gerai Jualan Hasil Sayuran dan
Buah-buahan TKPM, di sini pada Ahad.
Nizam menyeru agar para pengusaha memasarkan hasil pertanian
mereka secara konsisten bagi menarik masyarakat sekitar sekaligus menjadi
tarikan pelancong.
"Pada masa hadapan saya berharap TKPM Tawau bukan
sahaja menjadi pusat pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan, tetapi turut
menjadi lokasi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
"Justeru, saya harap usahawan dan petani perlu
memperkasakan pengetahuan digital supaya mereka mampu menjadi influencer kepada
produk sendiri serta memperkenalkan TKPM Tawau sebagai pusat mendapatkan hasil
pertanian segar," ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Pertanian, Datuk TS Jifrin Mohamad,
Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, Timbalan
Pengarah Jabatan Pertanian, Jackson Ronald Jaimi dan Penolong Pengarah
Pertanian Daerah Tawau, Abd Samat Injau.
