TERKINI:

Regatta Lepa bukti Pantai Timur Sabah selamat dikunjungi


SEMPORNA: Penganjuran Regatta Lepa Kali Ke-31 di Semporna menjadi bukti bahawa Pantai Timur Sabah kekal selamat untuk dikunjungi, sekali gus menepis persepsi negatif termasuk amaran perjalanan (travel advisory) yang masih dikeluarkan oleh beberapa negara.

Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa pada acara tahunan itu membuktikan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sambutan yang diterima Regatta Lepa secara tidak langsung menyangkal dakwaan bahawa perairan Pantai Timur Sabah tidak selamat.

“Penganjuran Regatta Lepa ini dengan sendirinya menepis segala andaian atau tohmahan bahawa perairan Sabah, khususnya di Pantai Timur, tidak selamat untuk dikunjungi.

“Apabila pelancong datang sendiri dan menyaksikan suasana yang aman serta meriah di Semporna, ia menjadi bukti bahawa Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, merasmikan Regatta Lepa Kali Ke-31 di Semporna, malam tadi.

Nizam berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan bagi memastikan kawalan di perairan serta sempadan negara berada pada tahap terbaik.

Katanya, peranan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam memantau keseluruhan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) turut meningkatkan keyakinan pelancong untuk terus memilih Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“ESSCOM sentiasa memantau keseluruhan kawasan Pantai Timur bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan rakyat mahupun pelancong asing.

“Situasi keselamatan di Pantai Timur Sabah ketika ini berada dalam keadaan terkawal hasil kerjasama semua agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Regatta Lepa membuktikan Semporna bukan sahaja mampu menjadi tuan rumah kepada acara berprestij, malah terus diyakini sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW