LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) menerusi pelaksanaan Operasi Omni Presence di sekitar bandar Lahad Datu, semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone, selain membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI), mengekang aktiviti ekonomi tidak sah serta memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurutnya, operasi itu turut menjadi manifestasi 'show of force' bahawa ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di kawasan berkenaan.
"Operasi ini membabitkan 53 pegawai dan anggota yang menjalankan pemeriksaan ke atas premis perniagaan serta 342 individu di sekitar bandar Lahad Datu.
"Hasil pemeriksaan, sebanyak 75 bungkus rokok seludup pelbagai jenis dan 19 kotak mancis jenama Aladdin dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan RM800," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi berterusan itu membuktikan komitmen ESSCOM memastikan kehadiran pasukan keselamatan sentiasa dirasai masyarakat melalui rondaan, pemantauan dan pemeriksaan secara berkala.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di ESS Zone, malah memberi mesej pencegahan kepada pihak yang berhasrat melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.
Victor berkata, kehadiran berterusan pasukan keselamatan turut memberi jaminan kepada masyarakat setempat, pelabur dan pelancong bahawa tahap keselamatan di Sabah Timur sentiasa dipantau serta berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, Operasi Omni Presence merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI menerusi Operasi Sanggah ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selain membantu agensi penguat kuasa Persekutuan dan negeri.
"Sejajar dengan hasrat ESSCOM iaitu 'Tiada Hari Tanpa Operasi', kami akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal selamat dan terkawal," katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESS Zone kepada Pusat Operasi ESSCOM bagi membantu usaha memperkukuh keselamatan di kawasan berkenaan.
