PENAMPANG: Enam lelaki tempatan ditahan manakala cecair disyaki dadah jenis MDMA/psilocybin serta ganja dirampas dalam operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam hingga awal pagi tadi.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama BSJND IPD Kota Kinabalu menerusi Ops Tapis yang menyasarkan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata operasi itu dijalankan di sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damas 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob.
Katanya, semua suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hasil pemeriksaan dan siasatan membawa kepada rampasan cecair disyaki dadah jenis MDMA/psilocybin berjumlah 20.5 mililiter bernilai kira-kira RM360 serta ganja seberat 5.41 gram dianggarkan bernilai RM120.
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM480," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, maklumat hasil tangkapan awal kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum serbuan susulan dilakukan di sebuah kondominium.
"Serbuan itu membawa kepada penemuan ganja dan penahanan dua lagi suspek," katanya.
Sammy berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang lagi negatif.
"Semakan rekod lampau turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya, Seksyen 6 akta sama kerana memiliki ganja serta Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan kerana menggunakan dadah berbahaya," katanya.
Beliau menegaskan polis akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, khususnya di pusat hiburan, premis perniagaan, kafe dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih serta pengedar dadah.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu usaha membanteras jenayah itu demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat," katanya
