KOTA KINABALU: Seramai 1,032 pelajar baharu telah mendaftar secara rasmi di Politeknik Kota Kinabalu, sekali gus mencatat lonjakan kemasukan sebanyak 128 peratus bagi Sesi I 2026/2027 dan membuktikan kejayaan institusi itu melakar sejarah baharu dalam pengambilan pelajar.
Pengarah PKK, Md Nor Abdul Halim berkata, pencapaian itu menjadi bukti jelas terhadap peningkatan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh PKK.
“Pecahan pendaftaran tersebut menyaksikan dominasi seramai 689 orang pelajar lelaki manakala 343 orang lagi merupakan pelajar Perempuan.
“Angka ini bukan sahaja melepasi sasaran, malah menunjukkan PKK terus menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar yang ingin menceburi bidang TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Transformasi Siswa (MTS) Sesi I 2026/2027 di Politeknik, di sini, hari ini.
Md Nor turut menegaskan bahawa para pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di PKK bukan sahaja bertuah, malah menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan institusi berkenaan.
“Anda semua bukan sahaja terpilih, malah anda adalah sebahagian daripada sejarah kejayaan berimpak tinggi PKK pada sesi ini.
“Melangkah masuk ke gerbang menara gading, kehidupan anda akan berubah 180 darjah untuk berhadapan dengan cabaran hidup mandiri serta mengadaptasi budaya pembelajaran TVET,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa bidang TVET bukan sahaja relevan, malah menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, beliau turut menafikan persepsi negatif terhadap laluan pendidikan berkenaan.
“Jangan sekadar belajar untuk lulus atas kertas, tetapi gilaplah kemahiran teknikal, komunikasi, dan teknologi digital agar anda menjadi graduan yang ready-to-work (sedia kerja).
“Di PKK, akademik dan kemahiran adalah penentu masa depan anda,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pelajar agar menjaga hubungan baik dengan pensyarah, rakan serta memelihara nama baik institusi sepanjang tempoh pengajian.
Md Nor turut memberi jaminan bahawa aspek kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan sebarang maklum balas boleh disalurkan melalui saluran rasmi yang disediakan.
Beliau turut menyeru pelajar baharu agar memanfaatkan sepenuhnya ekosistem pembelajaran di PKK untuk mengembangkan potensi diri serta mengharumkan nama institusi di peringkat nasional dan antarabangsa.
