TERKINI:

Polis sahkan video pergaduhan tular di Tuaran kejadian lama

TUARAN: Polis mengesahkan video memaparkan pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Pekan Tuaran yang kembali tular di media sosial sejak kelmarin adalah rakaman kejadian lama yang berlaku pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, video itu dimuat naik semula pada 27 Jun oleh salah seorang individu yang terbabit sebelum tersebar luas di beberapa akaun media sosial sehingga mencetuskan kegusaran orang ramai.

Beliau berkata, siasatan mendapati perselisihan itu berpunca daripada salah faham akibat pengaruh alkohol dan beberapa isu lama antara kedua-dua kumpulan.

“Bagaimanapun, kejadian itu hanya membabitkan pertengkaran mulut tanpa penggunaan sebarang senjata dan tidak mengakibatkan kecederaan kepada mana-mana pihak.

“Polis sudah mengambil tindakan dengan menahan beberapa individu yang terbabit selain memanggil kedua-dua pihak untuk diberi amaran dan nasihat supaya menyelesaikan perselisihan secara baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil perbincangan yang diadakan, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik.

Noraidin berkata, individu yang memuat naik semula video berkenaan turut dipanggil bagi dirakam keterangan selepas dipercayai berbuat demikian ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

“Video itu dipadamkan daripada akaun media sosialnya pada hari sama, namun telah tersebar semula menerusi beberapa akaun lain sehingga menjadi tular.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video berkenaan tanpa mengetahui fakta sebenar,” katanya.

Beliau berkata, polis akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan atau tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW