TERKINI:

PPM rampas rokok seludup hampir RM600,000, dua lelaki ditahan

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 365,200 batang rokok tidak bercukai bernilai hampir RM600,000 serta menahan dua lelaki tempatan dalam satu operasi di Jalan Sin On Tiku, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata operasi kira-kira jam 9 malam pada 23 Jun itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan pihaknya.

Menurutnya, sepasukan anggota PPM berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah besar rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran Indonesia sebelum dipasarkan di sekitar daerah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, antara jenama rokok yang dirampas ialah Premium, Nice, L.A Menthol dan L.A Mango dengan jumlah keseluruhan sebanyak 365,200 batang.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM593,800 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan operasi dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan di negeri ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
FOLLOW KAMI