KOTA KINABALU : Rakyat Sabah diseru untuk melaporkan
sekiranya terjumpa dengan aktviti penjualan diesel bersubsidi secara haram bagi
mengelakkan ketirisan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata
sikap menyayangi negeri dan nasionalisme tempatan amat penting bagi memastikan
pelaksanaan penambahbaikan skim penyasaran subsidi diesel di Sabah mencapai
matlamatnya.
"Sila lapor kalau ada terjumpa mereka yang
bertanggungjawab menjual secara haram kepada mereka yang tidak layak. Look
after your own rice bowl’.
"Ketepikan sikap terlalu bermurah hati kepada pihak
yang tidak sepatutnya, sebaliknya bangkit mempertahankan "periuk
nasi" sendiri bagi mengekang isu ketirisan subsidi diesel yang mencecah
bilion liter di negeri ini.
"Apabila ketirisan itu berlaku, bukan sahaja kerajaan
yang rugi tetapi sebenarnya rakyat juga rugi kerana jumlah diesel yang dapat
diagihkan kepada pengguna yang benar-benar layak turut berkurang," katanya
selepas mendengar taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi
Diesel di sini, pada Selasa.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Menteri Kewangan II,
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau turut memuji langkah komprehensif yang diambil oleh
Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira faktor geografi dan sosioekonomi
Sabah yang unik dan berbeza dengan Semenanjung.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah menjelaskan pintu
perbincangan sentiasa terbuka bagi memastikan skim ini berjalan lancar tanpa
menjejaskan sektor industri utama secara drastik.
"Sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi yang diterima
daripada pihak industri," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa setiap sen penjimatan
daripada penguatkuasaan ketirisan ini akhirnya akan dipulangkan semula kepada
rakyat melalui mekanisma harga bahan api yang lebih rendah.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Sr. Mohd Ishak
Ayub, Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit,
Pengarah Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup Sabah, Shahril Nizam
Shahidin.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
