TERKINI:

KPDN Semporna rampas 6,850 liter petrol disyaki diseleweng

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima dua kes serahan membabitkan rampasan 6,850 liter minyak petrol disyaki diseleweng menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.

Rampasan itu hasil pemeriksaan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kawasan perkampungan atas air, rumah tanpa nombor di Kampung Mesra, Semporna.

Menurut kenyataan KPDN Sabah, kes pertama membabitkan rampasan 4,350 liter minyak disyaki petrol yang disimpan di dalam 174 jerikin berkapasiti 25 liter.

Turut disita dua bot kayu berwarna kelabu, sebuah enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP) serta dua enjin sangkut Yamaha 85HP.

"Bagi kes kedua pula, sebanyak 2,500 liter minyak disyaki petrol ditemui disimpan di dalam 100 jerikin berkapasiti 25 liter.

"Kedua-dua rampasan itu dibuat tanpa melibatkan sebarang tangkapan kerana tiada individu berada di lokasi ketika operasi dijalankan," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM25,482, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin yang disita dianggarkan berjumlah RM52,482.

Susulan itu, KPDN Cawangan Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

KPDN turut memberi amaran tegas kepada individu atau syarikat supaya mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan bekalan barang kawalan.

"Bagi individu yang disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW