KOTA KINABALU : Sabah memerlukan sekitar 100,000 unit darah
setiap tahun bagi memenuhi keperluan pesakit di negeri ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul
Ibrahim berkata, Sabah masih berdepan kekurangan bekalan darah dan itu perlu
ditangani segera menerusi penglibatan aktif masyarakat, jabatan kerajaan,
agensi serta sektor swasta dalam menjayakan kempen derma darah secara
berterusan.
"Sabah memerlukan lebih 100,000 unit darah setahun,
namun bekalan yang berjaya dikumpulkan hanya sekitar 70,000 unit darah pada
tahun lalu. Ini bermakna kita masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit
darah.
"Saya menggalakkan seluruh rakyat di Sabah untuk tampil
menderma darah bagi memastikan keperluan bekalan darah di negeri ini dapat
dipenuhi bukan sahaja di Hospital Queen Elizabeth II tetapi di semua tempat.
"Kita faham bahawa terdapat cabaran yang agak besar di
Sabah, khususnya di beberapa kawasan yang sukar diakses oleh pihak hospital
untuk melaksanakan aktiviti libat urus dengan masyarakat.
"Hospital Queen Elizabeth II dengan kerjasama beberapa
pihak telah melaksanakan program outreach dan kempen bergerak untuk
menggerakkan staf mereka ke kawasan-kawasan strategik untuk pastikan tabung
darah ini dapat dipenuhi berdasarkan keperluan.
"Selain itu, saya juga mencadangkan agar mana-mana
pihak termasuk jabatan kerajaan dan sektor swasta terus melaksanakan kempen
derma darah secara konsisten dan berkala bagi memastikan bekalan darah di Sabah
sentiasa mencukupi.
"Usaha ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja
melibatkan aspek kesihatan, malah turut menyentuh soal nyawa manusia, termasuk
ahli keluarga kita sendiri yang mungkin memerlukan bantuan pada bila-bila
masa," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma
Darah Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth ll, pada Isnin.
Beliau turut, mencadangkan agar kerajaan negeri bersama
pihak berkepentingan mengenal pasti lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat
beli-belah untuk dijadikan lokasi tetap kempen derma darah, sekali gus
memudahkan orang ramai tampil menderma.
"Pelbagai inisiatif dan pendekatan perlu dilaksanakan
oleh semua pihak bagi memastikan tabung darah di Sabah sentiasa mencukupi,
selaras dengan keperluan yang amat mendesak di negeri ini," jelasnya.
![]() |
| Azrul (empat ) dari kanan semasa menyapa salah seorang penderma darah di dalam program tersebut. |
Dalam pada itu, Azrul turut mengucapkan tahniah kepada
pengurusan Hospital Queen Elizabeth II atas penganjuran sambutan berkenaan yang
mendapat sambutan menggalakkan daripada penderma darah sukarela, dan dijangka
kira-kira 200 unit darah dapat dikumpul dalam program itu.
Hadir sama, Pengarah Hospital Queen Elizabeth ll, Dr Ferro
Firdaus Ibrahim dan Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth
ll, Dr Shahnaz Irwani Sabri.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)

