![]() |
| Beruang madu merupakan spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. IHSAN: BBP Keningau |
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 8.45 pagi apabila penduduk kampung menyedari kehadiran haiwan liar berstatus dilindungi itu di kawasan perkampungan, sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
“Susulan panggilan kecemasan, sepasukan anggota dari BBP Keningau digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, penduduk kampung didapati telah bertindak awal mengawal keadaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pujian harus diberikan kepada penduduk kampung kerana bertindak pantas dan berani mengawal situasi sebelum kami tiba,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Pasukan bomba kemudiannya mengambil alih operasi dengan menangkap anak beruang madu tersebut menggunakan kaedah selamat sebelum dimasukkan ke dalam sangkar khas.
“Pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) seterusnya dihubungi untuk tindakan serahan dan proses pemuliharaan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.10 pagi,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak bomba mengingatkan bahawa beruang madu merupakan spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
“Sebarang aktiviti menangkap atau menyimpan haiwan berkenaan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan undang-undang,” tegasnya.
Pihak bomba turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama penduduk kampung serta mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kehadiran haiwan liar bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
