![]() |
| 30 tong LPG yang dibawa tanpa sebarang permit sah dan dipercayai untuk diselupu ke negara jiran. |
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, sebuah bot kargo dikesan bergerak keluar dari Jeti Batu 3 menuju ke Pulau Sebatik sebelum dipintas bot peronda Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang juragan lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 30 tong LPG berisi yang dibawa tanpa sebarang permit sah dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Siasatan juga mendapati juragan terbabit tidak mempunyai daftar nama dalam lesen bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, juragan bersama bot serta muatan kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Semua rampasan termasuk bot kargo, enjin dan muatan LPG dianggarkan bernilai lebih RM30,000,” katanya.
Ariffin berkata, pihaknya akan terus memperketat pemantauan terutama di lokasi ‘hotspot’ susulan taktik sindiket yang menggunakan waktu sunyi bagi mengelak dikesan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset rondaan sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut supaya menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau 999 untuk tindakan segera.
