Sokongan Penjawat Awam Negeri, Persekutuan Jayakan SMJ 1.0

 

KOTA KINABALU: Sokongan penjawat awam negeri dan persekutuan terhadap pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 menghasilkan kejayaan dalam tempoh lima tahun pelaksanaanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata perkhidmatan awam negeri dan persekutuan di Sabah secara amnya berjalan dan berfungsi dengan baik walaupun adakalanya berhadapan dengan pelbagai cabaran, tekanan serta ketidaktentuan. 

“Lebih-lebih lagi di Sabah ini yang pernah berhadapan dengan ketidakstabilan politik di samping ancaman pandemik dan cabaran-cabaran lain yang diluar kawalan kita seperti ketidaktentuan ekonomi dunia, perubahan iklim atau cuaca yang boleh mempengaruhi prestasi, peranan serta kehidupan kita seharian.

“Selama lima tahun saya menakhoda kerajaan negeri dengan sokongan dan dukungan para penjawat awam merupakan satu pengalaman yang luar biasa tetapi amat bermakna kepada saya. 

“Semoga asas-asas kukuh berdasarkan Hala Tuju SMJ 1.0 yang telah kita pacak dan kian mengukuh ini, dapat kita lanjutkan bagi mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam Hala Tuju SMJ 2.0 yang sentiasa menanti untuk dilaksanakan,” kata beliau semasa merasmikan Konvensyen Penjawat Awam Sabah, pada Selasa. 

Hajiji turut mengingatkan agar para penjawat awam sentiasa menjaga serta mengukuhkan hubungan baik dengan pimpinan kerajaan. 

"Ini bagi menjamin keteguhan pentadbiran dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan demi kelangsungan kemajuan dan pembangunan ke arah membentuk negeri yang aman makmur dan rakyat yang sejahtera. 

“Sebagai jentera kerajaan, penjawat awam juga adalah tunjang dalam sistem pentadbiran sesebuah kerajaan. Berpandukan kepada etika kerja berhemah dan berintegriti, tugas penjawat awam ialah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat berpandukan prinsip berkhidmat untuk kerajaan yang memerintah.

"Untuk itu, hubungan baik dan akrab antara penjawat awam dengan pimpinan Kerajaan perlu terus dipelihara dan diperkukuh,” ujarnya semasa konvensyen yang dihadiri lebih 7,000 penjawat awam negeri dan persekutuan itu.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainuddin Aman.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama