Rahman Dahlan tarik diri bertanding DUN Tempasuk

 

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan pencalonannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah kali ini. 

Menurutnya, keputusan itu telah dimaklumkan sendiri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi memberi laluan kepada muka baharu serta anak tempatan dari Kota Belud untuk mewakili parti di kawasan berkenaan.

“Saya telah memberitahu Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baru dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili UMNO di DUN Tempasuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, beliau telah tiga kali bertanding di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum 2013, 2018 dan 2022, dua kali menang dan sekali kalah.

“Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen,” katanya.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan keyakinan bahawa calon baharu dari UMNO Kota Belud akan mampu menggalas amanah rakyat dengan cemerlang.

“Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan baik. 

"Sebagai ahli parti, saya akan terus membantu UMNO melalui kapasiti yang lain,” katanya. 

Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti, khususnya Ahmad Zahid, yang telah mengumumkan pencalonannya pada 9 November lalu. 

"Saya juga berterima kasih kepada ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan berterusan selama ini.

“Saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada saya selama ini. Terima kasih kepada semua,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama