KOTA KINABALU: Calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menekankan bahawa pengalamannya dalam politik menjadi kekuatan utama untuk yakin memenangi kerusi dalam pilihan raya pada 29 November nanti.
Katanya, keputusan ini bukan sekadar bersandarkan harapan semata-mata, tetapi sokongan akar umbi menjadi faktor utama dalam memastikan kemenangan.
“Saya tidak pernah meninggalkan politik. You wanna bet? Saya akan menang, pasti. Saya mesti menghantar kemenangan kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Parti GRS di sini, hari ini.
Beliau juga menekankan bahawa pengundi menilai calon berdasarkan prestasi dan khidmat yang diberikan kepada masyarakat.
“Pada tahun 2020, saya bertanding atas nama sendiri dan menang dengan 2, 660 undi.
“Saya kalah hanya 84 undi. Itu pengalaman peribadi saya. Sekarang saya calon kerajaan, dan keyakinan saya lebih tinggi daripada sebelumnya,” jelasnya.
Menjawab kemungkinan sabotaj atau boikot dalam pilihan raya, Pandikar berkata, ia adalah lumrah dalam arena politik, namun fokus utama adalah memastikan kemenangan parti masing-masing.
“Dalam pilihan raya, apa sahaja boleh berlaku, termasuk sabotaj. Tetapi kita mesti pastikan kita menang. Fokus utama kami ialah pada objektif parti dan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan calon GRS dibuat secara teliti untuk memastikan setiap calon berpotensi menang.
“GRS telah memilih calon yang mempunyai peluang untuk menang. Kami telah melakukan tapisan dan penilaian yang rapi. Apa yang berlaku sebelum ini hanya menjadi pengalaman untuk membuat keputusan lebih baik,” tambahnya.
