KOTA KINABALU: Calon Dewan Undangan Negeri (DU) N.58 Lamag, Johainizamshah Johari, menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu, Datuk Seri Bung Moktar Radin, atas jasa dan sumbangan sepanjang menerajui kawasan itu.
Namun, beliau menegaskan sudah tiba masanya rakyat Lamag memilih kepimpinan baharu yang lebih progresif dan kompeten bagi membawa pembangunan setempat ke tahap lebih tinggi.
“Bukan kita cakap Datuk Bung ini tidak baik. Baik, sepanjang beliau memimpin sudah tentu ada jasanya, ada baiknya. Tetapi kita tidak boleh bersandarkan kepada sejarah lampau sebab kita perlu maju ke hadapan sebab Kinabatangan layak (deserve) untuk lebih maju di bawah pentadbiran kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Dalam masa yang sama, Johanizamshah menekankan keutamaannya ialah untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan melalui pelaburan baharu di kawasan Lamag.
“Visi kita adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berada di sana supaya satu masa nanti, ahli isi rumah yang berada di lamang ini dapat kita tingkatkan ekonomi mereka.
"Apabila anak-anak ini mendapat pekerjaan, kami berharap ekonomi rakyat di sana dapat kita pulihkan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa golongan muda kini menjadi kumpulan penentu utama dalam pilihan raya kali ini, dengan lebih 8,300 daripada 13,000 pengundi di Lamag terdiri daripada mereka yang berumur antara 18 hingga 41 tahun.
“Golongan muda ini mempunyai satu kuasa yang besar untuk mengubah pentadbiran dan mengubah kepimpinan di DU Lamag pada kali ini,” jelasnya.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan untuk dicalonkan pada pilihan raya kali ini.
“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana memberi peluang kepada saya untuk dicalonkan. Ini satu tanggungjawab besar, dan insya-Allah kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pilihan raya kali ini,” katanya.
