Penggiat seni, Abu Bakar Ellah calon KDM di DUN Kuamut

Penggiat seni, Abu Bakar Ellah sewaktu ditemui media selepas penamaan calon parti KDM di Palace Hotel, Kota Kinabalu, hari ini...

KOTA KINABALU: Penyanyi, pelakon dan penerbit terkenal Sabah, Abu Bakar Ellah atau Ampal, diumumkan sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi DUN Kuamut pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ampal, yang lebih 40 tahun bergiat dalam seni, berkata beliau tetap tidak dapat dipisahkan daripada dunia seni walaupun kini aktif dalam politik.

Beliau menekankan seni dan pelancongan saling berkait, terutamanya di kawasan Kinabatangan yang terkenal dengan keindahan alam.

“Saya sudah menyanyi hampir 40 tahun. Walaupun kini aktif dalam politik, saya masih boleh menyumbang melalui seni, termasuk penggambaran dan dokumentasi budaya serta keindahan kampung saya, Kinabatangan,” katanya.

Ampal turut yakin dengan jentera pilihan raya KDM di Kuamut walaupun beliau dipilih pada saat akhir.

“Saya menaruh kepercayaan penuh kepada jentera sedia ada dan tidak akan mengubah struktur yang telah terbentuk kerana mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.

Sebelum ini, Ampal pernah meninggalkan kampung asalnya di Pinangah pada usia muda dan bertanding di DUN Kuamut pada PRN 2003 sebagai calon bebas.

Sementara itu, Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, akan bertanding di DUN Melalap, manakala Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, pula bertanding di DUN Matunggong, sekali gus tidak mempertahankan kerusi DUN Bandau.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama