KOTA KINABALU: Hubungan dua hala antara
Indonesia dan Malaysia khususnya Sabah diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif
melibatkan bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan.
Konsul Jenderal Republik Indonesia
(KJRI) di Kota Kinabalu, Noorman Effendi berkata Indonesia dan Malaysia
memiliki hubungan yang sangat rapat dan perlu terus diperkukuh dari semasa ke
semasa.
"Pertama sekali, hubungan yang
saya maksudkan meliputi bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan, sebagai dua
negara yang berkongsi sebuah pulau, saya ingin hubungan ini terus diperkukuh.
"Ramai warga Indonesia yang
tinggal di Sabah, sama ada mereka yang telah menjadi warganegara Malaysia,
berketurunan Indonesia, ataupun yang datang sebagai pekerja di sektor ladang,
bukan ladang, mahupun bidang profesional lain di Malaysia.
"Tugas saya di sini tentunya
adalah untuk memberikan perlindungan kepada mereka, dan seperti yang saya
nyatakan tadi, memperkukuh lagi hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia,
khususnya Sabah, supaya menjadi lebih baik,” katanya dalam Media Gathering di
KJRI Kota Kinabalu, pada Rabu.
Beliau menambah banyak perkara
yang laksanakan di negeri ini melalui
pelbagai aktiviti promosi ekonomi, perdagangan, pelaburan serta mempergiatkan
promosi kebudayaan Indonesia.
"Kami ingin memperkenalkan
Indonesia bukan sahaja Kalimantan, tetapi juga Sulawesi, Jawa, Sumatera, Bali,
Papua, Maluku dan sebagainya serta memperkenalkan Indonesia memiliki banyak
keunikan yang menarik untuk diterokai dan dijalinkan kerjasama pada masa
hadapan," jelas beliau.
Dalam pada itu, Noorman memaklumkan
KJRI Kota Kinabalu akan menganjurkan program pendaftaran dan pengesahan
perkahwinan bagi warga Indonesia yang telah berkahwin secara agama tetapi belum
diiktiraf secara rasmi oleh negara.
Menurut beliau, program tersebut akan
dijalankan selama empat hari bermula 18 hingga 21 November ini di Pejabat KJRI
Kota Kinabalu.
