1,000 umat Islam sertai Sambutan Maulidur Rasul SAW Tamparuli

 

KENANGAN...Jahid (depan, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian daripada peserta yang hadir.

TUARAN : Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Tamparuli disertai kira-kira 1,000 umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim berkata tema sambutan pada tahun ini iaitu "Membangun Ummah Madani" sangat bertepatan dengan keperluan umat Islam pada masa kini.

"Tema ini membawa maksud yang besar, menekankan kepentingan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak, progresif dan berteraskan nilai-nilai Islam.

"Sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan, Ummah Madani bukan sekadar slogan.

"Ia adalah satu gagasan yang mengajak kita membina masyarakat yang seimbang antara dunia dan akhirat, yang mampu menangani cabaran moden dengan berpaksikan nilai-nilai murni Islam seperti keadilan, belas ehsan, integriti dan perpaduan," katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan di Dewan Tun Hamdan di sini, pada Ahad. 

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh terbaik dalam membentuk masyarakat Madinah yang bersifat madani, majmuk, aman, adil dan penuh kasih sayang.

“Baginda membina masyarakat bukan hanya dengan peraturan tetapi dengan akhlak dan ilmu,” ujarnya.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berpesan, dalam era globalisasi dan digital hari ini, cabaran terhadap akidah, akhlak dan jati diri umat Islam semakin kompleks serta memerlukan kefahaman agama yang benar.

“Pembangunan umat Madani harus bermula dari asas, dari rumah, ke sekolah, ke masjid hinggalah ke seluruh masyarakat,” jelasnya.

Beliau menyeru agar sambutan berkenaan dijadikan titik tolak untuk memperkuatkan kesatuan umat dan menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW.

Selain perarakan, pertandingan mahrajan kesenian kompang, nasyid, marhaban dan berzanji juga diadakan di samping

 ceramah khas yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tamparuli Mohd Bakri Amir.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama