![]() |
| Armizan dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kit Jalur Gemilang (Kluster Industri) dan Pelancaran Kempen Love Local |
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan berhubung cadangan untuk menyemak semula Kaedah Harga Automatik (APM) dalam menentukan harga bahan api.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mengambil maklum mengenai perkara terbabit dan bakal memanjangkan syor dan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh terdekat ini.
"KPDN sedia maklum berhubung permohonan atau rayuan daripada syarikat dan pengusaha stesen-stesen minyak untuk dibuat semakan kadar APM.
"KPDN sedang melaksana sesi libat urus bersama persatuan-persatuan berkaitan dan akan memanjangkan syor dan cadangan kepada MOF dalam masa terdekat," katanya.
Katanya, peranan KPDN adalah berkaitan kawal selia perlesenan sektor peruncitan perkhidmatan bekalan bahan api iaitu PDA 1 dan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi stesen minyak dan syarikat minyak.
"KPDN bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan diesel sentiasa mencukupi, selain memastikan produk petroleum bersubsidi dapat dinikmati oleh golongan sasar.
"Sementara itu, dasar dan penentuan harga runcit produk petroleum dan kadar APM adalah di bawah tanggungjawab MOF.
"Sebaik sahaja kerajaan memutuskan dasar dan mekanisme penyasaran subsidi RON95 kelak, kita yakin agensi pusat iaitu MOF mempertimbangkan kelulusan kadar baharu semakan APM.
"Hal ini penting bagi memastikan kemampanan perniagaan stesen-stesen dan syarikat-syarikat minyak sekali gus kestabilan perkhidmatan bekalan produk-produk petroleum kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kit Jalur Gemilang (Kluster Industri) dan Pelancaran Kempen Love Local bertempat di Stesen Minyak Petronas Papar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abd Aziz Sapian mencadangkan kerajaan untuk menyemak kaedah APM bagi menentukan harga bahan api agar terus relevan dengan perubahan ekonomi dan teknologi.
Penyusunan semula kaedah tersebut dapat membantu untuk memastikan penyasaran subsidi dilaksanakan dengan lancar, saksama dan mampu memelihara kestabilan bekalan serta kesejahteraan rakyat.
