Kerajaan peruntukkan RM30 juta bantu PMKS sektor kesihatan

 

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk penyedia perkhidmatan kesihatan (healthcare providers) tahun ini bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor berkenaan meningkatkan keupayaan digital mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM50 juta Geran Digital PMKS Madani tahun ini. 

“Bagi sektor kesihatan, peruntukan ini membolehkan mereka mengadaptasi teknologi baharu seperti e-prescription, di mana pesakit boleh berbincang dengan doktor secara maya dan mendapatkan preskripsi digital yang terus dihantar ke farmasi. Ini memudahkan pesakit tanpa perlu kerap hadir ke klinik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Geran Digital PMKS Madani Peringkat Negeri Sabah tahun ini bertempat di Hotel Marriott, Kota Kinabalu, di sini, hari ini. 

Menurut Mano, Sabah turut dipilih sebagai lokasi pertama melaksanakan projek perintis penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron yang dijangka bermula hujung tahun ini di Klinik Kesihatan Tawau.

“Program ini akan memanfaatkan masyarakat luar bandar yang tidak dapat ke klinik bagi mendapatkan ubat. Melalui kemudahan dron, ubat boleh dihantar terus kepada pesakit,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, lebih 2,800 penyedia perkhidmatan kesihatan di seluruh negara telah menerima manfaat daripada geran tersebut.

“Lebih 2,800 jumlah keseluruhan dan jumlah khusus bagi Sabah nanti kami akan maklumkan kemudian,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama