Kinabatangan perlu lembaran baharu pembangunan – Hajiji

 

KINABATANGAN: Daerah Kinabatangan memerlukan satu lembaran baharu pembangunan bagi memastikan rakyat di kawasan ini tidak ketinggalan menikmati arus kemajuan dibawa kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah merangka pelan pembangunan jelas menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita mempunyai rekod membantu rakyat serta mengangkat ekonomi melalui tiga teras utama iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian. 

"Ada lebih 400 inisiatif SMJ dan setakat ini 94 peratus sudah dilaksanakan, namun pembangkang pura-pura tidak nampak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Bandar Baharu Seri Milian di Dataran Terminal Terbuka Kota Kinabatangan, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, pencapaian lain termasuk pemberian bantuan RM300 sebulan selama setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar membabitkan lebih 10,000 penerima. 

"Selain itu, penambahan Program Rumah Mesra SMJ kepada 40 unit setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), serta pengagihan 100 mesin dialisis di hospital dan klinik kerajaan seluruh negeri.

“Kalau saya sebut semua, mungkin lima jam tidak habis,” selorohnya.

Mengulas projek Bandar Baharu Seri Milian, Hajiji berkata ia bakal menjadi game changer yang mampu membawa perubahan besar kepada Kinabatangan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan rakyat di DUN Lamag dan Sukau supaya membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) demi memastikan kesinambungan pembangunan.

“Hanya parti kerajaan boleh menyumbang kesejahteraan dan GRS ialah kerajaan pada masa ini. 

"Insya-Allah GRS akan terus menjadi kerajaan selepas PRN nanti. Gunakan akal budi, jangan terlalu percaya fitnah di media sosial,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyerahkan 255 geran deraf PANTAS untuk DUN Lamag meliputi keluasan 582.426 hektar kepada penduduk, geran tanah Majlis Daerah Kinabatangan seluas 157.48 ekar dan tiga geran deraf PANTAS DUN Sukau membabitkan 16.224 hektar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama