Dua rumah musnah, satu kereta terbakar

Gambar ihsan Bomba



KOTA KINABALU: Dua rumah dua tingkat separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Contoh, belakang 1 Borneo Hypermall, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada 4.12 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu, sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan dua rumah masing-masing berkeluasan 50x50 kaki.

“Rumah pertama terbakar 100 peratus manakala rumah kedua musnah 95 peratus. Sebuah kereta jenis Perodua Axia turut terbakar sebanyak 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.

Seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas digerakkan bersama enam jentera termasuk LFRT, FRT, Water Tanker dan EMRS.

"Pasukan pemadam menggunakan satu aliran 200 kaki, dua Dividing Breeching serta tiga pancutan dengan kaedah ofensif menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 4.50 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.06 petang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama