BN sah tiada rundingan dengan GRS – Zahid

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) mengesahkan setakat ini tiada rundingan pembahagian kerusi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini agihan kerusi yang dimuktamadkan hanyalah antara BN dengan Pakatan Harapan (PH), manakala rundingan PH dengan GRS turut dihormati.

“Yang dimuktamadkan ialah BN dengan PH. Kita menghormati rundingan PH dengan GRS, tetapi tiada rundingan secara langsung antara BN dengan GRS.

“Rundingan lain sekiranya ada, dilakukan secara tidak rasmi di belakang tabir untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Ke-16 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.

Dalam masa sama, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara BN dan PH pada PRN Sabah.

Katanya, BN sentiasa berpegang kepada persefahaman bersama PH untuk memastikan kerjasama lebih tersusun dan mengelakkan pertembungan yang boleh melemahkan gabungan itu.

Mengulas lanskap politik semasa di negeri itu, Zahid tidak menolak kemungkinan PRN Sabah kali ini menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

“Banyak parti baharu di Sabah mahu bertanding. Jadi, pertandingan tiga penjuru mungkin tidak dapat dielakkan, malah berkemungkinan sehingga lapan penjuru.

“Namun, lebih banyak pertandingan, suasana PRN jadi lebih meriah,” katanya.

Terdahulu, pada Jun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan rundingan kerjasama BN–PH di Sabah sudah memasuki fasa akhir, melibatkan semua komponen gabungan itu termasuk rakan strategik di negeri berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama