![]() |
| Aisyah (tengah) mengambil gambar kenangan bersama ibu (Fatin Hamamah) dan bapanya (Abdullah Jabus) pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-36, semalam. |
KOTA KINABALU: Mengamalkan surah Ar Rahman pada setiap hari menjadi antara kunci kejayaan Aisyah Fadhillah Abdullah sehingga berjaya memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini sekaligus menjadikan beliau antara pelajar yang terpilih menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS).
Aisyah Fadila, 18 yang merupakan bekas pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu (SMAKK) berkata selain menjadikan surah Ar Rahman sebagai amalan, beliau turut memastikan sentiasa solat lima waktu.
Disamping itu, beliau juga memastikan agar mampu menjaga hubungan dengan orang sekelilingnya khususnya ibubapa.
“Kalau saya rasa tertekan, saya akan baca Surah Ar-Rahman. Ia sangat menenangkan dan beri semangat baharu untuk terus belajar.
"Saya juga pastikan hubungan saya dengan Tuhan, ibu bapa, rakan dan guru sentiasa terjaga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-36 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Aisyah yang merupakan anak sulung dalam keluarganya turut menyatakan hasrat beliau untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan mencapai impiannya untuk menjadi seorang doktor.
“Cita-cita saya adalah untuk jadi doktor dan membanggakan keluarga. Saya sangat bersyukur kerana ini adalah rezeki besar dan titik permulaan untuk capai impian saya,” jelasnya.
Aisyah turut merakamkan penghargaannya kepada kerajaan negeri Sabah atas peluang yang diberikan.
Sementara itu, bapa Aisyah, Abdullah Jabus turut meluahkan rasa gembira atas pencapaian anaknya yang disifatkan sebagai satu kebanggaan buat keluarga.
“Kami sekeluarga sangat bersyukur dan gembira kerana ini sememangnya menjadi sasaran anak kami sejak awal. Alhamdulillah, beliau diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dengan kejayaan.
"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas peluang yang amat bermakna ini,” ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, seramai 117 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
