![]() |
Keputusan kes bunuh "Ijat" dijadual semula 28 Ogos. Foto | Ihsan Siti Hamidah Jumari (Ibu mangsa). |
TAWAU. Keputusan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, atau dikenali sebagai "Ijat" yang dijadualkan hari ini, dijadualkan semula pada 28 Ogos depan.
Penangguhan itu dimaklumkan melalui Notis Pendengaran (Penjadualan Semula) bertarikh 16 Julai 2025 yang dikeluarkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau kepada semua pihak terlibat.
Menurut notis berkenaan, prosiding yang sepatutnya berlangsung pada jam 9 pagi ini, dijadualkan semula kepada tarikh dan waktu sama pada 28 Ogos 2025 atas arahan Hakim Datuk Duncan Sikodol yang mendengar prosiding kes berkenaan.
Namun, tiada alasan rasmi dinyatakan berhubung penangguhan yang merupakan kali ketiga sejak perbicaraan selesai.
Terdahulu, prosiding keputusan sepatutnya dibuat pada 11 Jun lalu sebelum dijadualkan semula hari ini (23 Julai) bagi mendengar klarifikasi hujahan pihak-pihak berkaitan.
Seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun dituduh membunuh mangsa di bilik asrama kolej antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.